Di Sebalik Sekatan Cip AI, Sejauh Mana Malaysia Menguasai Industri Semikonduktor?


Persaingan teknologi antara Amerika Syarikat dan China semakin memperlihatkan kepentingan cip kecerdasan buatan (AI) dalam menentukan penguasaan industri digital dunia. Sekatan terhadap eksport cip berprestasi tinggi, termasuk teknologi NVIDIA, membuktikan bahawa semikonduktor bukan lagi sekadar komponen elektronik, tetapi turut menjadi aset strategik dalam persaingan ekonomi global.
Perkembangan ini turut memberi perhatian kepada Malaysia, sebuah negara yang mempunyai kedudukan penting dalam rantaian bekalan semikonduktor antarabangsa. Namun, persoalan yang wajar dibincangkan bukan sekadar bagaimana Malaysia terkesan oleh sekatan tersebut, tetapi sejauh mana negara benar-benar menguasai teknologi yang menjadi rebutan kuasa besar dunia.
Kedudukan Malaysia dalam Rantaian Semikonduktor
Malaysia telah lama terlibat dalam industri semikonduktor, khususnya aktiviti pemasangan, pengujian dan pembungkusan cip. Kepakaran serta infrastruktur yang dibangunkan selama beberapa dekad menjadikan negara sebahagian daripada ekosistem pengeluaran elektronik global. Bagaimanapun, rantaian industri semikonduktor merangkumi pelbagai peringkat, daripada reka bentuk cip dan pembangunan teknologi fabrikasi hinggalah kepada pemasangan serta pengujian akhir. Setiap peringkat mempunyai keperluan teknologi dan nilai ekonomi yang berbeza.
Walaupun Malaysia mempunyai kekuatan dalam operasi pengeluaran tertentu, penguasaan terhadap reka bentuk cip berprestasi tinggi dan teknologi fabrikasi tetapi Malaysia masih memerlukan pembangunan keupayaan yang lebih mendalam. Hal ini kerana, kedudukan dalam rantaian bekalan global tidak semestinya bermaksud sesebuah negara menguasai teknologi utama dalam rantaian tersebut.
Sekatan Cip AI Mendedahkan Kebergantungan Teknologi
Sekatan eksport cip AI memperlihatkan bagaimana keputusan perdagangan dan kawalan teknologi boleh mempengaruhi akses sesebuah negara terhadap komponen berprestasi tinggi. Bagi Malaysia, keadaan ini menimbulkan cabaran untuk memastikan industri tempatan terus berdaya saing tanpa terlalu bergantung kepada keputusan teknologi dan perdagangan kuasa besar.
Pada masa yang sama, perkembangan ini membuka ruang untuk menilai semula keupayaan negara dalam membangunkan teknologi semikonduktor sendiri. Malaysia tidak semestinya perlu menguasai keseluruhan proses penghasilan cip. Namun, negara perlu mengenal pasti bidang strategik yang berpotensi dibangunkan, termasuk reka bentuk litar bersepadu, pembungkusan termaju, pengujian berketepatan tinggi dan kejuruteraan semikonduktor. Pendekatan yang lebih khusus dan berfokus mampu membantu Malaysia meningkatkan sumbangannya dalam industri global.
Mampukah Malaysia Bergerak ke Aktiviti Bernilai Tinggi?
Cabaran terbesar Malaysia bukan sekadar menarik lebih banyak pelaburan semikonduktor, tetapi memastikan pelaburan tersebut memperkukuh keupayaan syarikat dan kepakaran tempatan. Hal ini kerana, industri yang berkembang memerlukan ekosistem yang menyokong penyelidikan, pembangunan teknologi, inovasi dan kerjasama antara syarikat dengan institusi pendidikan.
Malaysia juga perlu memperluas peluang kepada syarikat tempatan untuk terlibat dalam aktiviti kejuruteraan dan pembangunan teknologi, bukan hanya menyediakan perkhidmatan sokongan kepada pengeluar antarabangsa. Peralihan ini memerlukan masa, modal dan kepakaran yang berterusan. Namun, tanpa usaha meningkatkan nilai aktiviti industri, Malaysia berisiko kekal tertumpu pada peringkat pengeluaran tertentu walaupun permintaan semikonduktor dunia terus meningkat.
Malaysia tidak cukup sekadar menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan. Negara perlu membina keupayaan untuk menentukan nilai dan peranan sendiri dalam industri semikonduktor global.
Tenaga Mahir Sebagai Asas Penguasaan Teknologi
Dalam usaha meningkatkan keupayaan industri semikonduktor, pembangunan tenaga kerja perlu diberikan perhatian yang sama penting dengan pelaburan teknologi. Industri ini memerlukan jurutera reka bentuk, juruteknik pengujian, pakar automasi, tenaga penyelenggaraan peralatan berketepatan tinggi dan pekerja yang memahami proses pengeluaran elektronik.
Dari perspektif Belia Mahir, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mempunyai peranan penting dalam menyediakan tenaga teknikal yang mampu menyokong perkembangan tersebut. Oleh itu, latihan haruslah bergerak seiring dengan perubahan teknologi industri. Pendedahan kepada sistem automasi, elektronik industri, kawalan kualiti dan peralatan pengeluaran moden perlu diperkukuh melalui kerjasama yang lebih rapat dengan pihak industri. Pembangunan tenaga mahir juga perlu disokong oleh laluan peningkatan kemahiran yang membolehkan pekerja berkembang daripada tugasan operasi kepada kepakaran teknikal yang lebih tinggi.
Malaysia Perlu Menentukan Kedudukan Masa Depannya
Persaingan cip AI dunia memberi peringatan bahawa kekuatan industri bukan hanya bergantung kepada jumlah kilang atau nilai eksport, tetapi juga kemampuan sesebuah negara menguasai pengetahuan dan teknologi yang digunakan. Malaysia sudah mempunyai asas dalam industri semikonduktor. Cabaran seterusnya ialah memanfaatkan kekuatan tersebut untuk membangunkan kepakaran, meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dan memperluas aktiviti industri bernilai tinggi.
.png)



Comments