top of page

Dual Diploma Malaysia–China: Persiapan Diperkemas, Standard Jadi Keutamaan

Writer: Editor Mahir Media
Editor Mahir Media
Nov 2
2 min read
Dual Diploma Malaysia–China: Persiapan Diperkemas, Standard Jadi Keutamaan
Dual Diploma Malaysia–China: Persiapan Diperkemas, Standard Jadi Keutamaan

PUTRAJAYA, 2 November 2026 — Persiapan pelaksanaan Dual Diploma Malaysia–China terus diperkemas dengan tumpuan kepada pemetaan kurikulum, kesiapsiagaan institusi latihan dan pembangunan tenaga pengajar bagi memastikan program memenuhi keperluan persijilan serta industri.


Perkara tersebut menjadi fokus Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMC) JPK–BELIA MAHIR Bilangan 2/2026 antara Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan BELIA MAHIR International TVET Sdn. Bhd. yang berlangsung hari ini.


Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman bin Hj. Md. Ali, Ketua Pengarah Pembangunan Kemahiran, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).


Mesyuarat meneliti perkembangan empat kumpulan kerja yang merangkumi pelaksanaan inisiatif Malaysia–China, standard dan kurikulum, pengajar dan kepakaran serta promosi dan kerjasama strategik.


Antara perkembangan utama yang dilaporkan ialah penyempurnaan padanan tiga modul latihan institusi China dengan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) bagi bidang teknologi kenderaan elektrik (EV), mekatronik dan logistik.


Hasil pemetaan tersebut telah dibentangkan pada peringkat kumpulan kerja dan disyorkan untuk pengesahan JMC. Langkah ini penting bagi memastikan kandungan latihan kedua-dua negara mempunyai padanan kompetensi yang jelas untuk menyokong pelaksanaan Dual Diploma.


Program rintis melibatkan Kolej TVET Belia Mahir, Seremban, bersama Anhui University of Applied Technology bagi bidang EV; Kolej Dayatech, Subang, bersama Hebei Institute of Mechanical and Electrical Technology bagi mekatronik; serta Tech Terrain College, Shah Alam, bersama Taizhou Vocational College of Science & Technology bagi logistik.


Berdasarkan perancangan yang dibentangkan, pendaftaran kumpulan rintis seramai 75 pelatih dijangka pada Disember 2026, diikuti sasaran pendaftaran 150 pelatih setahun bagi tempoh 2027 hingga 2030. Keseluruhannya, kerangka program menyasarkan penglibatan 675 pelatih.


Persediaan turut merangkumi penyelarasan institusi pelaksana dan urusan pentauliahan supaya pengambilan pelatih dapat dilaksanakan mengikut keperluan yang ditetapkan.


Dalam aspek pembangunan tenaga pengajar, kerjasama ini menyasarkan 100 pengajar mengikuti latihan kepakaran China sepanjang 2027 hingga 2030, sama ada di dalam atau luar negara.


Antara skop yang dicadangkan ialah metodologi pengajaran berteraskan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi imersif, pemetaan kurikulum NOSS TVET-i serta persijilan profesional EV yang relevan dengan keperluan industri.


Penglibatan syarikat industri China yang beroperasi di Malaysia turut menjadi sebahagian perancangan. Libat urus ini bertujuan menghubungkan latihan dengan kemahiran yang diperlukan majikan, di samping memperluas peluang peningkatan kemahiran dan pembangunan kerjaya.


Kerjasama JPK–BELIA MAHIR ini turut merangkumi promosi dan pelaksanaan Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) di dalam serta luar negara, sekali gus membawa standard kemahiran Malaysia ke dalam jaringan pendidikan antarabangsa.


Tumpuan pada peringkat persediaan ialah memastikan kurikulum, pentauliahan dan sokongan pengajar diselaraskan sebelum program bermula, supaya pelajar memasuki laluan latihan yang tersusun dan berasaskan kompetensi.



Comments


bottom of page