top of page

Fahami STEM, perjelas identiti TVET

2 days ago
4 min read

Dalam membicarakan pembangunan bakat negara, Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sering disebut bersama. Hubungan kedua-duanya memang penting. Namun, apabila digabungkan tanpa menjelaskan tujuan dan hasil pembelajaran masing-masing, masyarakat boleh keliru. Penguasaan ilmu, pendedahan teknologi dan kompetensi pekerjaan akhirnya dianggap perkara yang sama.


Sebagai pengamal industri dan penggiat TVET di lapangan, saya berpandangan kekeliruan ini perlu diperbetulkan. Kita perlu memahami sumbangan STEM, sambil memastikan identiti TVET kekal jelas. Kefahaman itu mempengaruhi cara latihan dibangunkan, bagaimana pencapaian pelatih dinilai dan apakah kebolehan yang boleh diharapkan oleh majikan apabila seseorang memasuki alam pekerjaan.


STEM membina penguasaan ilmu


STEM membawa kepada penguasaan ilmu yang mendalam dalam sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik. Ilmu itu digunakan untuk penyelidikan, penemuan, reka bentuk, pembangunan dan inovasi. Pelajar dibimbing memahami prinsip, meneliti bukti, menggunakan pengiraan serta menguji idea bagi menerangkan sesuatu fenomena atau membangunkan penyelesaian.


Penguasaan ini mempunyai nilai besar kepada pembangunan manusia dan teknologi. Ia juga menjadi asas kepada pelbagai kerjaya. Oleh itu, tidak tepat untuk mengatakan STEM tiada hubungan dengan pekerjaan. Perkara yang perlu diperjelas ialah penguasaan sesuatu disiplin ilmu tidak dengan sendirinya membuktikan seseorang sudah kompeten melaksanakan tugas pekerjaan tertentu.


TVET pula berorientasikan penguasaan kompetensi pekerjaan. Fokusnya ialah bagaimana sesuatu teknologi, sistem atau rospes dibina, dipasang, dikendalikan, diselenggara, diuji dan diperbaiki dalam konteks industri sebenar. Mengikut bidang, kompetensi juga boleh melibatkan penyediaan produk, penyampaian perkhidmatan atau pengurusan operasi berdasarkan standard pekerjaan.


Kompetensi merangkumi pengetahuan, kemahiran praktikal dan sikap kerja. Seseorang perlu mengetahui apa yang dilakukan, mampu melaksanakannya dan bertanggungjawab terhadap hasilnya. Dalam TVET, pengetahuan mesti menyokong keupayaan menjalankan tugas dengan betul, selamat dan menepati tahap kualiti yang ditetapkan.


Perbezaan ini ialah perbezaan penekanan, bukannya sempadan mutlak. STEM turut melibatkan aplikasi dan kerja amali, manakala TVET memerlukan teori, pemikiran analitis serta penyelesaian masalah. Namun, apabila membangunkan atau menilai program TVET, rujukan utamanya perlu jelas: kompetensi apakah yang mesti dikuasai bagi melaksanakan pekerjaan yang disasarkan?


Ilmu menyokong pelaksanaan pekerjaan


Contoh mudah ialah bidang elektrik. Memahami voltan, arus, rintangan dan prinsip litar menggambarkan penguasaan ilmu berkaitan STEM. Kompetensi pekerjaan elektrik pula memerlukan seseorang membaca keperluan kerja, memilih bahan, memasang sistem, menggunakan alat pengujian, mendiagnosis kerosakan dan menjalankan pembaikan mengikut prosedur keselamatan serta standard berkaitan.


Seseorang mungkin mampu menerangkan bagaimana litar berfungsi, tetapi belum mampu memasang dan mengujinya dengan betul. Sebaliknya, pelatih yang hanya menghafal langkah pemasangan tanpa memahami prinsip berisiko membuat keputusan yang salah apabila keadaan berubah. TVET perlu membina kedua-dua keupayaan itu dengan tujuan memastikan tugas dapat dilaksanakan secara kompeten.


Dalam automotif, memahami prinsip pembakaran, sistem brek atau fungsi bateri ialah asas pengetahuan. Kompetensi pekerjaan memerlukan pelatih memeriksa kenderaan, mentafsir simptom, menggunakan peralatan diagnosis, mengenal pasti punca kerosakan dan mengesahkan keberkesanan pembaikan. Penguasaan dinilai melalui tindakan dan hasil kerja, termasuk pematuhan keselamatan.


Di sinilah hubungan STEM dengan TVET perlu diterangkan secara tepat. Dalam banyak pekerjaan teknikal, ilmu STEM menyokong pemahaman dan pertimbangan semasa bekerja. TVET menyusun pembelajaran berasaskan keperluan tugas supaya ilmu, kemahiran dan sikap dapat digunakan bersama. Hubungan ini memperkukuh latihan apabila tujuan setiap komponen diterangkan dengan jelas.


“Dalam TVET, mengetahui bagaimana sesuatu berfungsi perlu diterjemahkan kepada kebolehan melaksanakan pekerjaan dengan betul, selamat dan menepati standard.”

Kekeliruan berlaku apabila aktiviti berkaitan teknologi terus dilabel sebagai TVET. Mencuba robot, menjalankan eksperimen atau menghasilkan model boleh membina minat dan pemahaman. Namun, aktiviti tersebut belum semestinya membuktikan kompetensi pekerjaan. Kita perlu meneliti tugas yang dilatih, tahap penguasaan dan kaedah penilaiannya.


Menggerakkan robot melalui arahan asas, misalnya, berbeza daripada kompetensi mengendalikan sistem robotik industri. Bergantung pada skop pekerjaan, seseorang mungkin perlu menguasai pemasangan, pengaturcaraan, pengujian, pemeriksaan keselamatan atau penyelenggaraan. Pendedahan awal mempunyai tempatnya, tetapi masyarakat perlu memahami perbezaannya dengan latihan bagi mencapai kompetensi tertentu.


Identiti TVET juga lebih luas daripada bidang berasaskan STEM. Penyediaan makanan, jahitan, perkhidmatan kecantikan dan hospitaliti mempunyai kompetensi pekerjaan tersendiri. Bidang ini memerlukan pengetahuan, ketepatan prosedur, kawalan kualiti dan tanggungjawab terhadap pelanggan. Penggunaan teknologi canggih bukan syarat tunggal untuk menentukan sesuatu bidang sebagai TVET.


Latihan mesti berpandu kompetensi


Berdasarkan pengalaman di lapangan, kejelasan tujuan latihan amat penting. Pembangunan program TVET perlu bermula dengan pekerjaan yang disasarkan. Apakah tugasnya? Apakah standard hasil kerja? Apakah peralatan, pengetahuan dan pertimbangan yang diperlukan? Daripada persoalan ini, kandungan teori, amali dan penilaian dapat disusun secara terarah.


Asas STEM perlu diberi perhatian apabila berkaitan dengan pekerjaan berkenaan. Matematik boleh membantu pengukuran dan pengiraan, manakala sains membantu memahami bahan atau proses. Kandungan itu perlu diajar dengan kedalaman yang sesuai supaya pelatih mampu menjelaskan tindakannya, mengenal pasti masalah dan menyesuaikan kaedah kerja.


Penilaian pula mesti menghasilkan bukti penguasaan. Pelatih perlu menunjukkan kebolehan melaksanakan tugas, menerangkan keputusan dan menghasilkan kerja mengikut kriteria. Kehadiran atau pencapaian teori sahaja belum mencukupi untuk menggambarkan keseluruhan kompetensi. Proses kerja, keselamatan, ketepatan dan mutu hasil perlu diberikan perhatian.


Penglibatan industri membantu memastikan keperluan ini mencerminkan keadaan pekerjaan. Majikan dan pengamal boleh menyumbang dalam semakan kandungan, pendedahan tempat kerja serta penilaian prestasi. Tenaga pengajar juga memerlukan peluang mengikuti perubahan teknologi dan proses agar bimbingan mereka kekal relevan dengan bidang yang diajar.


Ibu bapa dan anak muda pula memerlukan maklumat yang jelas ketika memilih latihan. Mereka perlu mengetahui kompetensi yang bakal dikuasai, pekerjaan yang disasarkan dan ruang kemajuan kerjaya. Penerangan mengenai STEM dan TVET seharusnya membantu pilihan ini, bukannya menambahkan kekeliruan melalui label yang terlalu umum.


Malaysia memerlukan penguasaan STEM yang kukuh dan TVET yang jelas orientasi pekerjaannya. Kedua-duanya boleh saling menyokong apabila tujuan masing-masing difahami. Bagi TVET, ukuran utamanya kekal pada kompetensi: seseorang mampu menggunakan pengetahuan, kemahiran dan sikap untuk melaksanakan tugas mengikut standard. Kejelasan inilah yang memberi makna kepada latihan dan keyakinan terhadap kebolehan graduannya.

Comments


bottom of page