top of page

TVET 2.0 Pacu Transformasi Kemahiran Negara, Perkukuh Laluan Kerjaya Rakyat

Writer: Wan Farah Aisyah Binti Mior Khir Amir
Wan Farah Aisyah Binti Mior Khir Amir
Oct 28
2 min read


Foto: Bernama


MELAKA, 28 Oktober 2026 — Pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2035 bakal menetapkan hala tuju baharu ekosistem TVET negara, dengan tumpuan kepada latihan yang lebih responsif terhadap industri, pembangunan kompetensi tenaga kerja dan peluasan akses kemahiran.


Menurut laporan Bernama, Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis TVET Negara, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, empat siri sesi libat urus telah dilaksanakan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor dan Pahang dengan penyertaan 256 peserta.


Dapatan serta pandangan pihak berkepentingan kini sedang dimurnikan bagi memperkukuh dasar dan pelan pembangunan TVET supaya lebih menepati keperluan industri.

Beliau berkata, pembaharuan dasar, pengukuhan kompetensi dan peluasan latihan kemahiran menjadi keutamaan kerajaan untuk memastikan bakat tempatan mampu bersaing dalam ekonomi yang semakin dipacu teknologi.


Ukur kompetensi, kenal pasti jurang kemahiran

Antara inisiatif yang diberi perhatian ialah cadangan pembangunan Indeks Kompetensi Nasional (NCI) untuk mengukur keupayaan tenaga kerja berdasarkan tiga dimensi utama, iaitu pengetahuan, kemahiran dan sikap.

Inisiatif itu dicadangkan untuk diterajui Kementerian Pendidikan Tinggi melalui MyRIVET di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

Menurut Ahmad Zahid, indeks berkenaan dapat membantu mengenal pasti jurang kemahiran secara lebih sistematik, sekali gus memperkukuh perancangan latihan semula dan peningkatan kemahiran mengikut keperluan sebenar sektor industri.


Modul Kenegaraan PLKN dicadang diperluas ke institusi TVET

Dalam masa sama, peluasan Fasa 3 Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 melalui Modul Kenegaraan di institusi TVET awam dicadangkan bermula 2027/2028.

Pelaksanaan secara berfasa itu diunjurkan melibatkan 673 institusi dengan anggaran 70,000 hingga 100,000 peserta, tertakluk kepada pertimbangan dan kesiapsiagaan pelaksanaan.

Cadangan tersebut bertujuan membentuk generasi muda yang memiliki kemahiran teknikal, di samping jati diri, disiplin dan semangat patriotisme.


Pembelajaran fleksibel buka peluang tambah pendapatan

Peluang rakyat meningkatkan kemahiran turut diberi perhatian melalui Model Pelaksanaan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) Kolej Komuniti.

Pendekatan itu menekankan pembelajaran fleksibel, penawaran kursus kemahiran dan kerjasama strategik bagi meningkatkan kompetensi, kebolehpasaran serta peluang penjanaan pendapatan masyarakat.


Hari TVET Negara 2027 dicadang di Dataran Putrajaya

Bagi memperluas kesedaran masyarakat terhadap pendidikan dan kerjaya kemahiran, Dataran Putrajaya dicadangkan sebagai lokasi penganjuran Hari TVET Negara 2027 pada 4 hingga 7 Jun 2027.

Sambutan itu akan menjadi platform memperkenalkan peluang TVET kepada masyarakat serta memperkukuh hubungan antara institusi latihan dengan industri.

Ahmad Zahid menegaskan bahawa komitmen berterusan kerajaan dan kerjasama erat semua pihak penting untuk menjadikan TVET pilihan utama kerjaya serta melahirkan tenaga kerja yang kompeten dan bersedia menyokong pertumbuhan ekonomi negara.


Sumber: Bernama | Diolah oleh MAHIR.MEDIA

Comments


bottom of page