top of page

TVET Perkasa Kemahiran Belia, Buka Peluang Menjana Pendapatan

Writer: Nur Hanis Hannani Mohd Zambri
Nur Hanis Hannani Mohd Zambri
Nov 4
2 min read

Updated: Nov 5


Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid, berhasrat bantu golongan belia peroleh akses peluang latihan dan pembangunan ekonomi. (Sumber Foto: Malaysia Gazette)
Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid, berhasrat bantu golongan belia peroleh akses peluang latihan dan pembangunan ekonomi. (Sumber Foto: Malaysia Gazette)


MELAKA, 3 November 2026 – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dilihat sebagai salah satu pendekatan penting dalam memperluas peluang pekerjaan serta meningkatkan ekonomi golongan belia, khususnya bagi mereka yang tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.


Usaha memperkasakan latihan kemahiran ini turut mendapat perhatian calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid, yang berhasrat membantu golongan belia mendapatkan akses kepada peluang latihan dan pembangunan ekonomi.


Menurut beliau, hasil pemerhatian di kawasan DUN Lendu mendapati terdapat golongan anak muda yang masih berdepan masalah pengangguran. Sebahagian daripada mereka juga mempunyai kekangan untuk melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mahupun Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).


Sehubungan itu, beliau melihat latihan kemahiran sebagai salah satu alternatif yang boleh membantu golongan belia membina kerjaya dan meningkatkan taraf kehidupan tanpa bergantung sepenuhnya kepada laluan pendidikan akademik.


Antara usaha yang ingin diberi perhatian ialah memperluas penyampaian maklumat berkaitan bantuan dan peluang latihan daripada agensi kerajaan. Program kemahiran seperti bengkel jahitan, masakan, kraftangan dan pertanian berpotensi membantu masyarakat memperoleh kemahiran praktikal yang boleh digunakan untuk menjana pendapatan.


Beliau turut menjelaskan bahawa terdapat pelbagai agensi kerajaan yang menyediakan bantuan berkaitan latihan dan pembangunan kemahiran. Namun begitu, masih terdapat masyarakat yang kurang mendapat maklumat tepat mengenai peluang tersebut sehingga menyebabkan bantuan yang tersedia tidak dimanfaatkan sepenuhnya.


Pendekatan ini menunjukkan bahawa pembangunan TVET bukan hanya tertumpu kepada penyediaan tenaga kerja untuk memenuhi keperluan industri, malah turut berperanan membantu masyarakat membina sumber pendapatan melalui kemahiran dan keusahawanan.


Dalam konteks pembangunan belia, pendedahan kepada latihan kemahiran dapat membuka peluang kepada golongan muda untuk meneroka bidang pekerjaan yang bersesuaian dengan minat dan kebolehan masing-masing. Kemahiran yang diperoleh juga boleh dimanfaatkan untuk memulakan perniagaan kecil atau menawarkan perkhidmatan kepada komuniti setempat.


Usaha memperluaskan akses kepa

da TVET ini turut selari dengan hasrat kerajaan negeri Melaka untuk membangunkan modal insan belia melalui pendidikan kemahiran serta memastikan tiada golongan yang tercicir daripada peluang pembangunan.


Secara keseluruhannya, TVET memainkan peranan penting sebagai platform pembangunan kemahiran, peningkatan ekonomi dan pembentukan masa depan belia. Dengan penyampaian maklumat yang lebih meluas serta sokongan daripada agensi berkaitan, lebih ramai golongan muda berpeluang mendapatkan latihan yang bersesuaian, meningkatkan kebolehpasaran dan membina kehidupan yang lebih baik.


Sumber rujukan: Malaysia Gazette – Abdul Hakim mahu perkasa TVET, ekonomi belia di Lendu (3 November 2026).

Comments


bottom of page