BELIA MAHIR Bawa Aspirasi 40 Institusi TVET Swasta Malaysia ke Beijing, Berucaptama di CACIE 2026


KUALA LUMPUR, 24 Oktober 2026 – Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (BELIA MAHIR) akan mengadakan lawatan kerja ke Beijing, China, dari 25 hingga 31 Oktober 2026 bagi memperkukuh kerjasama TVET Malaysia–China serta mempromosikan keupayaan kira-kira 40 institusi TVET swasta Malaysia yang mempunyai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama BELIA MAHIR.
Kemuncak lawatan tersebut ialah penyertaan BELIA MAHIR dalam “Belt and Road” International Forum on Industry-Education Cooperation 2026 pada 29 Oktober, bersempena The 27th China Annual Conference & Expo for International Education (CACIE 2026) yang berlangsung di Beijing dari 29 hingga 31 Oktober 2026.
CACIE merupakan persidangan dan ekspo pendidikan antarabangsa tahunan yang dianjurkan oleh China Education Association for International Exchange (CEAIE) sejak tahun 2000, dengan sokongan Kementerian Pendidikan China.
CEAIE ialah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan di peringkat kebangsaan China yang ditubuhkan pada 1981 dan beribu pejabat di Beijing. Organisasi ini berperanan menggalakkan pertukaran pendidikan antarabangsa, membangunkan jaringan kerjasama institusi pendidikan serta memperkukuh hubungan pendidikan China dengan negara luar.
Forum khusus pada 29 Oktober pula dianjurkan oleh Tang International Education Group, yang menghimpunkan pemimpin pendidikan, wakil kerajaan dan pakar industri dari China, Malaysia, Thailand, Pakistan, Brazil, Rusia, Uzbekistan dan Kyrgyzstan.
Presiden BELIA MAHIR Bakal Sampaikan Ucaptama
Mohammad Rizan Hassan, Presiden BELIA MAHIR merangkap Ahli Majlis TVET Negara (MTVET), dijadualkan menyampaikan ucaptama dalam forum tersebut yang memfokuskan kerjasama antarabangsa antara institusi pendidikan dengan industri.
Antara agenda perbincangan ialah pendigitalan pendidikan, pembangunan kampus luar negara, perkongsian sumber latihan, kerjasama industri antarabangsa dan pembangunan bakat berkemahiran bagi memenuhi keperluan ekonomi global.
Penyertaan ini menjadi platform strategik kepada BELIA MAHIR untuk mengetengahkan kekuatan ekosistem TVET Malaysia, khususnya peranan institusi latihan kemahiran swasta dalam pembangunan tenaga kerja berkemahiran.
Teroka Kerjasama Institusi TVET dan Industri China
Sepanjang lawatan, delegasi BELIA MAHIR dijadualkan mengadakan perbincangan bersama beberapa institusi utama termasuk Beijing Business School, Beijing Chaoyang Vocational School, Beijing College of Politics and Law serta Beijing Vocational College of Labour and Social Security.
Perbincangan akan merangkumi bidang e-dagang, kulinari, keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan sumber manusia.
Delegasi turut dijadualkan mengadakan pertemuan dengan China Electricity Council (CEC) bagi meneroka potensi kerjasama latihan teknikal sektor tenaga, selain mengadakan perbincangan bersama kepimpinan Qingdao Harbour Vocational & Technical College pada 30 Oktober.
Lawatan ini diharap dapat membuka peluang kerjasama latihan, pemindahan teknologi, pembangunan kurikulum dan pertukaran kepakaran yang berpotensi memberikan manfaat kepada rangkaian 40 institusi TVET swasta Malaysia.
BELIA MAHIR mahu memastikan pengantarabangsaan TVET diterjemahkan kepada peluang sebenar untuk institusi, tenaga pengajar dan pelajar, sekali gus memperkukuh daya saing tenaga kerja berkemahiran Malaysia di peringkat antarabangsa.
.png)



Comments