top of page

TOPSEC China Perkasa BELIA MAHIR dengan Teknologi Keselamatan Siber, Sasar Peluang Kerjaya Industri China di Malaysia

Writer: Siti Nur Hidayah Asmui
Siti Nur Hidayah Asmui
Oct 24
1 min read

SEREMBAN – Usaha melahirkan tenaga mahir keselamatan siber tempatan menerima suntikan baharu apabila gergasi teknologi keselamatan siber China, Beijing TOPSEC Group, menyumbangkan tujuh sistem teknologi keselamatan siber kepada Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (BELIA MAHIR) bagi memperkukuh latihan industri dan membuka laluan pekerjaan kepada belia TVET Malaysia.


Sumbangan peralatan teknologi bernilai RM104,000 itu merupakan sebahagian daripada kerjasama strategik BELIA MAHIR dan TOPSEC China dalam pembangunan pusat latihan dan pensijilan keselamatan siber di Kolej Kemahiran Pure Technics (KKPT), Seremban, Negeri Sembilan.


Tujuh sistem keselamatan siber yang disumbangkan merangkumi:

  1. Next Generation Firewall (NGFW) – Perlindungan rangkaian generasi baharu.

  2. TopFilter – Sistem penapisan dan kawalan akses rangkaian.

  3. TopSentry – Sistem pengesanan pencerobohan siber.

  4. TA-DB – Sistem audit keselamatan pangkalan data.

  5. TA-Net – Sistem pengauditan aktiviti rangkaian.

  6. TSM-SE V3 – Sistem pengurusan keselamatan bersepadu.

  7. Vulnerability Scanning and Management System – Sistem pengesanan serta pengurusan kelemahan keselamatan.


Melalui kemudahan ini, peserta berpeluang menjalani latihan secara praktikal menggunakan teknologi industri sebenar, sekali gus meningkatkan kompetensi dalam pengurusan rangkaian, pengesanan ancaman dan perlindungan infrastruktur digital.


Presiden BELIA MAHIR merangkap Ahli Majlis TVET Negara, En. Mohammad Rizan Hassan, melihat inisiatif berkenaan sebagai langkah strategik menghubungkan pembangunan kemahiran TVET dengan keperluan tenaga kerja sektor teknologi digital.


Lebih signifikan, kerjasama ini turut memberi tumpuan kepada pembangunan bakat dan penempatan pekerjaan dalam kalangan syarikat serta industri China yang beroperasi di Malaysia, khususnya yang memerlukan tenaga teknikal berkemahiran dalam keselamatan siber.


Inisiatif BELIA MAHIR–TOPSEC China ini diharap dapat memperkukuh ekosistem TVET berorientasikan industri, dengan latihan, pensijilan profesional dan laluan kerjaya dibangunkan secara lebih bersepadu.


Comments


bottom of page