top of page

TVET Malaysia-China: Malaysia Mesti Tampil Sebagai Kuasa TVET Global, Dukung Kepimpinan Ahmad Zahid

3 hours ago
4 min read
YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama 25 menteri dan delegasi dari 40 negara berhimpun di World Vocational and Technical Education Development Conference (WVTEDC) 2026 di Tianjin, Republik Rakyat China
YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama 25 menteri dan delegasi dari 40 negara berhimpun di World Vocational and Technical Education Development Conference (WVTEDC) 2026 di Tianjin, Republik Rakyat China

17 Oktober 2026

Oleh YB Tuan Haji Manndzri bin Haji Nasib

Pengerusi RISDA, Pengerusi Lembaga Penasihat BELIA MAHIR dan Ahli Parlimen Tenggara


Lawatan kerja YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Pengerusi Majlis TVET Negara ke China pada 12 hingga 16 Oktober 2026 memperlihatkan kesungguhan Malaysia memperkukuh pembangunan kemahiran melalui hubungan antarabangsa. Penyertaan beliau dalam World Vocational and Technical Education Development Conference 2026 di Tianjin membawa agenda penting untuk masa depan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.


Dua pendirian Malaysia pada persidangan tersebut wajar disokong seluruh penggiat TVET. Pertama, sokongan terhadap cadangan Framework of World Vocational and Technical Education Standards, atau Beijing Agreement, bagi memperkukuh kualiti latihan dan kerjasama antarabangsa dengan menghormati keutamaan setiap negara. Kedua, cadangan penubuhan World TVET Council dengan China sebagai tuan rumah tetap.


Majlis yang dicadangkan ini akan menghimpunkan negara, industri dan institusi latihan setiap tahun untuk memajukan kerjasama pembangunan kemahiran, teknologi serta tenaga kerja. Persetujuan secara prinsip China terhadap cadangan Malaysia membuka ruang membina platform antarabangsa yang berterusan, sekali gus memperluas peranan negara dalam mencorakkan agenda TVET global.


Foto: Facebook Zahid Hamidi
Foto: Facebook Zahid Hamidi

Pada pandangan saya, kedua-dua inisiatif ini saling melengkapi. Kerangka standard menyediakan rujukan peningkatan mutu, manakala majlis dunia menyediakan wadah menyelaraskan kerjasama. Malaysia perlu memanfaatkan peluang ini untuk memperkukuh kurikulum, kompetensi pengajar, latihan amali dan hubungan industri, selaras dengan keperluan pembangunan negara.


Usaha tersebut mendukung komitmen membina Komuniti Malaysia–China Strategik Bertaraf Tinggi dengan Masa Depan Bersama. Hubungan diplomatik mesti diterjemahkan kepada manfaat rakyat melalui penguasaan teknologi, peluang latihan, pekerjaan berkualiti dan peningkatan pendapatan. Di sinilah organisasi pelaksana seperti BELIA MAHIR mempunyai peranan penting.


YB Tuan Haji Manndzri Hj Nasib, Pengerusi Lembaga Penasihat BELIA MAHIR
YB Tuan Haji Manndzri Hj Nasib, Pengerusi Lembaga Penasihat BELIA MAHIR

“BELIA MAHIR berdiri teguh bersama kepimpinan YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Pengerusi Majlis TVET Negara, untuk menjadikan diplomasi TVET Malaysia–China sebagai jambatan kemahiran dan peluang, agar belia luar bandar serta belia NEET turut melangkah ke masa depan yang lebih bermakna.”

Sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BELIA MAHIR, saya melihat organisasi ini terus menyumbang kepakaran dan pengalaman bagi menyokong pengantarabangsaan TVET Malaysia. Sejak 2023, sebanyak 300 persefahaman telah dibina dengan institusi TVET China, meliputi mobiliti antarabangsa, latihan industri, Dual Diploma dan peningkatan kemahiran pengajar.


Dalam tempoh yang sama, 35 syarikat industri China di Malaysia telah bekerjasama bagi menyokong penempatan pelajar. Hubungan ini penting supaya pengalaman latihan dapat dihubungkan dengan keperluan pekerjaan sebenar, sekali gus membantu pelatih memahami budaya kerja, penggunaan teknologi dan tahap kompetensi yang diperlukan majikan.


Melalui Malaysia-China Youth TVET Training (MCYTT), BELIA MAHIR berjaya memenuhi kuota 5,125 peluang latihan bagi pelaksanaan terdahulu. Untuk 2026, sebanyak 1,050 daripada kuota 2,000 tempat di bawah pelaksanaan BELIA MAHIR telah dipenuhi. Pencapaian ini memperlihatkan keupayaan organisasi menggerakkan penyertaan belia dalam latihan antarabangsa.


Pemindahan teknologi turut menjadi keutamaan. Pada 2023 hingga 2024, BELIA MAHIR mencetuskan rundingan dan berjaya mendapatkan sumbangan enam set peralatan latihan kenderaan elektrik (EV) daripada Beifang International Education Group China dengan kerjasama TANG International Education Group China. Peralatan tersebut telah diagihkan kepada enam institusi TVET awam.


Pada 2026, BELIA MAHIR menerima lagi 10 set peralatan latihan daripada TANG International Education Group China bagi bidang EV dan Teknologi Jaminan Kualiti. Sumbangan ini memperkukuh pembelajaran amali serta membolehkan pengajar dan pelatih mendapat pendedahan kepada teknologi yang relevan dengan perkembangan industri.


Idea Malaysia-China Industry-Education Alliance (MCIEA) yang dicetuskan BELIA MAHIR pula telah diumumkan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Pengerusi Majlis TVET Negara, semasa Majlis Malaysia-China Diplomacy TVET bersempena Hari TVET Negara 2026 di Putrajaya. Majlis tersebut dihadiri lebih 200 pemimpin institusi TVET dan industri dari China.


MCIEA menyasarkan manfaat melalui 1,000 peluang biasiswa dengan menggabungkan kepakaran institusi TVET dan industri China bersama institusi Malaysia. Kerjasama ini berpotensi memperkukuh latihan bakat muda melalui hubungan yang lebih tersusun antara pendidikan, teknologi dan keperluan tenaga kerja.



BELIA MAHIR turut bekerjasama dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) bagi pelaksanaan Dual Diploma Malaysia–China, dengan sasaran 375 pelatih menjelang 2030. Pendekatan dua tahun di Malaysia dan setahun di China dirancang bermula dalam bidang Mekatronik, Automotif EV dan Logistik.


Susulan hasrat kerajaan membawa Luban Workshop ke Malaysia, BELIA MAHIR menawarkan diri membantu menjayakan usaha tersebut melalui jaringan institusi dan industri yang telah dibina. Inisiatif ini berpotensi memperkukuh latihan pengajar, perkongsian teknologi serta keupayaan institusi tempatan menyediakan latihan berkualiti kepada masyarakat.


Saya berpandangan pelaksanaannya perlu memberi perhatian kepada belia luar bandar dan kumpulan belia NEET, iaitu mereka yang tidak berada dalam pekerjaan, pendidikan atau latihan (Not in Employment, Education and Training). Membuka laluan kemahiran kepada mereka selari dengan matlamat pembangunan bakat teknikal dan peningkatan kebolehpasaran yang didukung pendekatan Luban Workshop.


Sebagai Pengerusi RISDA dan Ahli Parlimen Tenggara, saya mahu anak pekebun kecil serta keluarga berpendapatan rendah turut menikmati manfaat ini. Penyertaan mereka memerlukan bimbingan, maklumat yang mudah dicapai dan sokongan persediaan supaya peluang latihan benar-benar menjadi laluan perubahan kehidupan.


Pelaksanaannya juga perlu disertai sasaran yang jelas, pemantauan kemajuan dan penilaian hasil. Kejayaan hendaklah diukur melalui kemahiran yang dikuasai, peluang pekerjaan serta peningkatan pendapatan peserta. Pengajar yang menerima latihan pula perlu menyebarkan pengetahuan agar manfaatnya berkembang kepada lebih ramai pelatih tempatan.


Justeru, saya menyeru seluruh penggiat TVET menyokong kepimpinan YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Pengerusi Majlis TVET Negara dalam menjayakan agenda ini. BELIA MAHIR bersedia terus menyumbang agar diplomasi TVET Malaysia–China melahirkan tenaga mahir, memperluas peluang dan membina masa depan belia yang lebih bermakna.



 
 
 

Comments


bottom of page