Jangan Jadikan Pelajar TVET Warga Kelas Kedua Dalam Bantuan Sara Hidup
Oleh YB Tuan Haji Manndzri bin Hj Nasib
Ahli Parlimen P155 Tenggara merangkap Ahli Majlis TVET Negara dan Pengerusi Lembaga Penasihat BELIA MAHIR
Keputusan kerajaan memperuntukkan RM225 juta bagi menyalurkan bantuan sara hidup RM2,500 kepada 90,000 pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) menerusi Belanjawan 2027 sememangnya langkah yang saya alu-alukan.
Inisiatif ini membuktikan kesungguhan kerajaan mengangkat martabat pendidikan Tingkatan Enam, sekali gus merapatkan jurang bantuan sara hidup antara pelajar STPM, STAM dan Matrikulasi.
Namun, dalam meraikan pengumuman tersebut, saya ingin membangkitkan satu persoalan besar yang menyentuh prinsip keadilan sosial dalam sistem pendidikan negara.
Mengapa pelajar Diploma Akademik dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Tahap 4 tidak diberikan pertimbangan kebajikan yang sama?
Persoalan inilah yang saya bangkitkan ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat pada 14 Oktober lalu.
Kita tidak boleh menyelesaikan satu bentuk ketidakseimbangan dalam sistem pendidikan dengan mewujudkan ketidakseimbangan baharu terhadap kelompok pelajar yang lain.
Menurut Statistik Pendidikan Tinggi 2025, terdapat lebih 200,000 pelajar Diploma Akademik, manakala rekod Majlis TVET Negara 2026 menunjukkan sekitar 150,000 anak muda mengikuti aliran TVET peringkat diploma atau DKM Tahap 4.
Mereka juga anak Malaysia yang sedang membina masa depan dan memerlukan sokongan sewajarnya daripada kerajaan.
DKM Tahap 4 mempunyai martabat tersendiri
Kita perlu mengubah persepsi bahawa pendidikan akademik lebih utama berbanding pendidikan kemahiran.
DKM Tahap 4 bukan kelayakan kelas kedua. Ia merupakan kelayakan kemahiran peringkat diploma dalam Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) yang diterajui Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
Pelajar DKM dilatih menguasai kompetensi pekerjaan melalui pembelajaran teori, latihan praktikal, penggunaan teknologi dan penilaian keterampilan berdasarkan standard pekerjaan industri.
Walaupun pendekatan pembelajaran STPM, Matrikulasi, Diploma Akademik dan DKM berbeza, setiap laluan mempunyai peranan penting dalam membangunkan modal insan negara.
Saya tidak mempertikaikan keperluan membantu pelajar STPM dan STAM. Sebaliknya, saya mahu prinsip kebajikan yang sama turut dipertimbangkan untuk pelajar diploma akademik dan TVET.
Kerajaan tidak seharusnya menjadikan perbezaan laluan pendidikan sebagai asas untuk membezakan hak menerima pertimbangan bantuan sara hidup.
Keadilan pendidikan bukan bermaksud semua pelajar mesti mengikuti laluan yang sama, tetapi setiap pelajar berhak mendapat perhatian yang saksama berdasarkan keperluan sebenar mereka.
“Janganlah kita hanya mahu memerah keringat kemahiran mereka untuk membangunkan ekonomi negara, tetapi apabila tiba soal kebajikan, kita melayan mereka seperti warga kelas kedua.”
Jangan abaikan realiti kehidupan pelajar TVET
Kita mesti melihat realiti sebenar kehidupan anak-anak TVET, khususnya mereka yang berasal dari luar bandar dan keluarga berpendapatan rendah.
Ramai yang terpaksa merantau jauh daripada keluarga untuk mengikuti latihan kemahiran di institusi tertentu.
Mereka menanggung kos penginapan, makanan, pengangkutan dan pelbagai keperluan pembelajaran serta latihan amali.
Bagi sesetengah keluarga, perbelanjaan beberapa ratus ringgit sebulan sudah cukup membebankan.
Dalam perbahasan saya, turut dibangkitkan bahawa sekitar 75 peratus pelajar STPM masih tinggal bersama keluarga. Walaupun keadaan ini tidak menafikan keperluan bantuan mereka, kerajaan juga harus memahami cabaran pelajar TVET yang terpaksa hidup berjauhan daripada keluarga.
Kita tidak boleh hanya melihat jumlah pelajar yang mendaftar dalam program TVET sebagai ukuran kejayaan.
Persoalan lebih penting ialah sejauh mana mereka mampu bertahan, menyelesaikan latihan dan memperoleh kelayakan untuk memasuki pasaran pekerjaan.
Jangan sampai anak-anak yang mempunyai minat dan bakat dalam bidang kemahiran terpaksa menghentikan pengajian semata-mata kerana kesempitan hidup.
Peruntukkan lima peratus dana TVET kepada pelajar
Belanjawan 2027 menggariskan peruntukan RM8.2 bilion bagi memperkasakan TVET.
Saya mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan sekurang-kurangnya lima peratus daripada peruntukan tersebut untuk disalurkan secara langsung kepada kebajikan pelajar TVET.
Jumlah ini bersamaan RM410 juta.
Peruntukan tersebut boleh dijadikan asas kepada mekanisme bantuan sara hidup yang lebih menyeluruh, dengan keutamaan kepada pelajar DKM Tahap 4 daripada keluarga B40, kawasan luar bandar dan mereka yang terpaksa tinggal jauh daripada keluarga.
Saya juga berharap Kementerian Kewangan bersama kementerian dan agensi berkaitan dapat meneliti mekanisme bantuan yang adil, telus dan tidak bertindih dengan bantuan sedia ada.
Dalam masa sama, kita mesti memastikan peruntukan pembangunan TVET benar-benar dimanfaatkan bagi meningkatkan kualiti pedagogi, kemudahan latihan, peralatan teknologi, pemindahan pengetahuan dan kompetensi pengajar.
Kita sering menjadikan China dan Jerman sebagai penanda aras kejayaan pendidikan kemahiran. Namun, untuk mencapai kecemerlangan tersebut, pembangunan institusi mestilah berjalan seiring dengan kebajikan pelajarnya.
Malaysia sedang berusaha memperkukuh industri bernilai tinggi, mempercepat transformasi teknologi dan melahirkan lebih ramai pekerja berkemahiran.
Semua aspirasi ini bergantung kepada anak-anak muda yang sedang mengikuti latihan TVET hari ini.
Justeru, saya ingin menegaskan bahawa kita tidak boleh terus mengangkat TVET sebagai pemacu ekonomi negara sedangkan kebajikan pelajarnya hanya menjadi perkara sampingan dalam perancangan belanjawan.
Janganlah kita hanya mahu memerah keringat kemahiran mereka untuk membangunkan ekonomi negara, tetapi apabila tiba soal kebajikan, kita melayan mereka seperti warga kelas kedua.
Saya mahu melihat Belanjawan 2027 bukan sekadar menjadi belanjawan yang besar dari segi angka, tetapi benar-benar mencerminkan keadilan kepada seluruh anak Malaysia.
STPM, STAM, Matrikulasi, Diploma Akademik dan DKM Tahap 4 masing-masing mempunyai kedudukan dan sumbangan tersendiri.
Jangan ada yang tertinggal hanya kerana mereka memilih laluan pendidikan kemahiran.
Jika TVET benar-benar menjadi agenda nasional, kebajikan pelajar TVET juga mesti menjadi keutamaan nasional.
.png)



Comments