top of page

TVET 2.0: Industri Jangan Hanya Mahu Tenaga Mahir, Mesti Bersama Membina Bakat Negara

Writer: YB Tuan Hj. Manndzri Hj. Nasib
YB Tuan Hj. Manndzri Hj. Nasib
Oct 29
2 min read
TVET 2.0: Industri Jangan Hanya Mahu Tenaga Mahir, Mesti Bersama Membina Bakat Negara
TVET 2.0: Industri Jangan Hanya Mahu Tenaga Mahir, Mesti Bersama Membina Bakat Negara

Oleh YB Tuan Haji Manndzri bin Hj Nasib

Ahli Parlimen P155 Tenggara merangkap Ahli Majlis TVET Negara

dan Pengerusi Lembaga Penasihat BELIA MAHIR


Gagasan TVET 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2035 yang sedang digerakkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, merupakan suatu kewajaran dalam usaha memperkukuh pembangunan bakat dan masa depan ekonomi negara.


Saya memberikan penghargaan kepada beliau atas kepimpinan dan kesungguhan memastikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tidak lagi dilihat sekadar laluan pendidikan alternatif, sebaliknya menjadi pemacu utama pembangunan tenaga kerja kompeten.


Mesyuarat Majlis TVET Negara pada 27 Oktober 2026 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) memperlihatkan komitmen berterusan untuk menjadikan TVET lebih responsif terhadap keperluan industri dan perubahan teknologi.


Cadangan memperkenalkan Indeks Kompetensi Nasional atau National Competency Index (NCI) juga tepat pada masanya. Negara memerlukan kaedah yang lebih sistematik untuk mengenal pasti jurang kompetensi tenaga kerja berdasarkan pengetahuan, kemahiran dan sikap.


Namun, kejayaan transformasi ini menuntut lebih daripada kesungguhan kerajaan semata-mata.


Nasionalisme Industri Mesti Diterjemahkan Melalui Tindakan


Saya ingin membangkitkan satu persoalan penting. Sejauh manakah industri di Malaysia benar-benar mempunyai semangat nasionalisme dalam membangunkan bakat tempatan?


Kita mengalu-alukan pelaburan asing dan pertumbuhan syarikat multinasional kerana semuanya menyumbang kepada pembangunan ekonomi serta peluang pekerjaan.


Namun, industri tidak sepatutnya hanya melihat Malaysia sebagai lokasi pelaburan yang menawarkan tenaga kerja dan kemudahan perniagaan.


Mereka juga mempunyai tanggungjawab moral untuk menyumbang kepada pembangunan kompetensi rakyat Malaysia.


Jangan sampai industri hanya mahukan pekerja yang sudah mahir, tetapi menyerahkan keseluruhan tanggungjawab melahirkan tenaga mahir kepada kerajaan dan institusi latihan.

Industri perlu lebih berani membuka kemudahan latihan, berkongsi teknologi, membangunkan tenaga pengajar dan menyediakan laluan peningkatan kerjaya kepada pekerja tempatan.


Inilah semangat nasionalisme ekonomi yang perlu diterjemahkan melalui TVET 2.0.


Manfaat Transformasi Mesti Sampai kepada Semua


Dalam keghairahan membangunkan tenaga mahir berteknologi tinggi, kita tidak boleh melupakan belia daripada keluarga berpendapatan rendah, masyarakat luar bandar dan mereka yang kurang menyerlah dalam akademik.


TVET mesti menjadi peluang untuk mengubah kehidupan, bukan sekadar menyediakan tenaga kerja kepada industri.


Begitu juga Institusi Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Kedua-duanya mesti diberikan ruang yang adil dalam ekosistem transformasi.


Saya tidak mahu kerjasama TVET hanya tertumpu kepada institusi besar dan syarikat ternama, sedangkan penyedia latihan serta majikan tempatan yang turut membangunkan tenaga kerja kurang mendapat perhatian.


NCI pula tidak seharusnya sekadar menghasilkan angka dan laporan. Dapatannya mesti digunakan untuk memperbaiki latihan, meningkatkan kompetensi dan membuka peluang pekerjaan dengan pendapatan lebih baik.


TVET 2.0 Adalah Tanggungjawab Bersama


Saya yakin kepimpinan Timbalan Perdana Menteri dalam menyelaraskan agenda TVET negara mampu memperkukuh kerjasama kerajaan, industri dan institusi latihan.


Namun, kejayaannya perlu diukur berdasarkan perubahan sebenar terhadap kehidupan rakyat.


Berapa ramai belia mendapat pekerjaan berkualiti? Berapa banyak industri melabur dalam latihan pekerja tempatan? Sejauh mana kompetensi tenaga kerja Malaysia meningkat?


Industri yang benar-benar mempunyai semangat nasionalisme bukan sekadar mencipta keuntungan di Malaysia, tetapi turut melabur untuk membina masa depan rakyat Malaysia.

TVET 2.0 mesti menjadi agenda nasional yang dikongsi bersama, bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata.


Kerana akhirnya, kekuatan ekonomi negara bukan hanya terletak pada jumlah pelaburan yang masuk, tetapi pada keupayaan rakyatnya menguasai kemahiran, teknologi dan pekerjaan bernilai tinggi.


Comments


bottom of page