TVET 2.0: Transformasi Besar, Jangan Ada yang Tertinggal


Oleh Mohammad Rizan Hassan
Presiden BELIA MAHIR merangkap Ahli Majlis TVET Negara
23 Oktober 2026
Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (BELIA MAHIR) menyambut baik dan menyatakan sokongan terhadap agenda TVET 2.0 sebagai langkah penting memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.
Usaha kerajaan merangka transformasi melalui sembilan komponen anjakan utama memperlihatkan kesungguhan untuk menjadikan TVET lebih responsif terhadap perubahan teknologi, keperluan industri dan cabaran pembangunan tenaga mahir masa hadapan.
BELIA MAHIR melihat TVET 2.0 sebagai peluang untuk memperbaiki kelemahan sedia ada, memperkukuh standard kompetensi pekerjaan serta membuka lebih banyak laluan pembangunan kemahiran kepada rakyat Malaysia.
Namun, sokongan terhadap sesuatu dasar tidak bermakna kita harus mengetepikan persoalan tentang pelaksanaannya.
Sebagai pengamal industri dan penggiat TVET yang berdepan sendiri dengan realiti latihan, pengambilan pelatih serta penempatan pekerjaan, saya berpandangan terdapat beberapa pertimbangan penting yang perlu diberikan perhatian.
Kita bukan mempertikaikan aspirasi TVET 2.0, tetapi mahu memastikan manfaat transformasi benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan, bukan sekadar mereka yang sudah mempunyai kelebihan.
Siapa Sebenarnya Belia yang Akan Mendapat Manfaat?
Perkara pertama ialah kejelasan kumpulan sasar belia.
Kita sering melaungkan pelbagai inisiatif pembangunan bakat untuk belia. Namun, adakah kita benar-benar memahami kepelbagaian latar belakang golongan ini?
Ada belia yang cemerlang dalam akademik, mempunyai sokongan keluarga dan berpeluang memasuki institusi latihan terkemuka.
Sebaliknya, terdapat belia yang hanya mempunyai kelayakan akademik rendah, gagal peperiksaan, tercicir daripada persekolahan atau tidak berada dalam pendidikan, pekerjaan mahupun latihan (NEET).
Mereka mempunyai keperluan dan cabaran yang berbeza.
Persoalannya, adakah TVET 2.0 menyediakan ruang yang sama untuk semua kumpulan ini?
Jika syarat kemasukan, pembiayaan dan peluang latihan terlalu tertumpu kepada pencapaian akademik atau institusi tertentu, kita mungkin tanpa sedar meninggalkan belia yang sebenarnya paling memerlukan TVET.
TVET sepatutnya menjadi laluan pembangunan kompetensi yang inklusif, termasuk kepada mereka yang kurang menyerlah dalam sistem akademik.
Satu lagi kumpulan yang perlu diberikan perhatian ialah pelatih di Institusi Latihan Kemahiran Swasta (ILKS).
ILKS turut memainkan peranan penting menyediakan latihan kepada belia, termasuk daripada keluarga berpendapatan rendah dan mereka yang memerlukan laluan pembelajaran lebih fleksibel.
Namun, adakah pelatih ILKS akan menikmati manfaat setara dari segi pembiayaan, akses teknologi, program peningkatan kemahiran dan peluang mobiliti antarabangsa?
Transformasi TVET negara mesti merangkumi keseluruhan ekosistem, bukan hanya institusi yang mempunyai sokongan kewangan dan kemudahan lebih kukuh.
Jangan Hanya Berkiblatkan Industri Besar
Penekanan TVET 2.0 terhadap kerjasama industri memang wajar diberikan sokongan.
Industri merupakan pihak yang paling memahami kompetensi pekerjaan serta perubahan teknologi dan keperluan tenaga kerja.
Namun, saya ingin membangkitkan satu persoalan yang sering kurang diberikan perhatian.
Adakah kerjasama industri akan melibatkan keseluruhan ekosistem pekerjaan atau terus tertumpu kepada syarikat besar dan jenama terkenal?
Kita sememangnya memerlukan penglibatan syarikat multinasional dan industri berteknologi tinggi untuk membawa kepakaran serta teknologi terkini.
Tetapi jangan dilupakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), bengkel automotif, syarikat penyelenggaraan, perusahaan pembuatan tempatan dan industri sokongan.
Mereka juga menyediakan peluang pekerjaan serta memerlukan tenaga kerja kompeten.
Jika pembangunan bakat hanya berpandukan keperluan segelintir industri besar, kita berisiko mewujudkan ekosistem TVET yang tidak seimbang.
PMKS seharusnya turut diberikan peluang menyumbang kepada pembangunan standard pekerjaan, pelaksanaan latihan industri dan peningkatan kemahiran pekerja.
Kerjasama industri tidak sepatutnya diukur berdasarkan kehebatan nama syarikat yang menandatangani memorandum persefahaman, tetapi berdasarkan penglibatan sebenar mereka dalam membangunkan tenaga mahir.
Transformasi Mesti Boleh Dilaksanakan
Satu lagi pertimbangan ialah keupayaan institusi TVET melaksanakan perubahan.
Kita boleh memperkenalkan teknologi baharu, standard kompetensi yang lebih dinamik dan kaedah pembelajaran moden.
Namun, adakah institusi mempunyai tenaga pengajar, peralatan latihan dan pembiayaan yang mencukupi?
Jangan sampai pembaharuan akhirnya menambahkan beban pematuhan kepada penyedia latihan tanpa meningkatkan keupayaan mereka.
JPK sebagai peneraju standard kompetensi pekerjaan negara perlu terus diperkukuh. Pendekatan NOSS Sinergi dan NOSS Adaptasi boleh dimanfaatkan untuk mempercepat penyesuaian latihan dengan perkembangan teknologi serta keperluan pekerjaan.
Pembiayaan pula mesti mengambil kira kos sebenar latihan, khususnya bidang yang memerlukan peralatan industri berteknologi tinggi.
Pada masa sama, kejayaan TVET 2.0 perlu diukur berdasarkan hasil sebenar.
Berapa ramai belia berkelayakan akademik rendah berjaya mendapat kemahiran? Berapa ramai graduan ILKS memperoleh pekerjaan berkualiti? Berapa banyak PMKS mendapat manfaat? Adakah pendapatan graduan benar-benar meningkat?
Soalan ini lebih penting daripada jumlah program, pelancaran atau memorandum persefahaman yang dihasilkan.
BELIA MAHIR kekal menyokong agenda TVET 2.0 dan bersedia memainkan peranan menjayakan transformasi ini.
Namun, pandangan jujur daripada pengamal lapangan perlu diterima sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pelaksanaan dasar.
Transformasi sebenar bukan sekadar membawa mereka yang sudah maju ke tahap lebih tinggi, tetapi memastikan mereka yang selama ini tertinggal turut mendapat peluang untuk bergerak bersama.
Itulah semangat TVET untuk semua yang perlu diterjemahkan melalui TVET 2.0.
.png)


Comments